MAHUKAN MP3?

20 Feb

assalamu’alaikum wm.wb.

kepada sesiapa yang ingin dapatkan mp3 rakaman tafsir dan hadis atau lainnya, bolehlah layari ke : http://www.muntalaq2.blogspot.com

wassalam

FIKRAH HADIS KE 3

20 Jun

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله وسلم يَقُوْلُ : بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ وَإِقَامُ الصَّلاَةِ وَإِيْتَاءُ الزَّكَاةِ وَحَجُّ الْبَيْتِ وَصَوْمُ رَمَضَانَ.

Dari Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar bin Al-Khattab radiallahu ‘anhuma, katanya: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Islam dibina di atas lima perkara; Bersaksi bahwa tiada Ilah yang berhak disembah selain Allah dan bahwa Nabi Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan puasa bulan Ramadhan.

ImageFIKRAH HADIS:

  1. Analogi Islam ibarat rumah dengan tiang dan bangunannya sangat berguna dalam menangkis kefahaman yang silap terhadap Islam. Hadis ini jelas pelengkap kepada hadis sebelumnya dalam memahami erti Islam yang syumul. Kata-kata ‘dibina’ membuang segala silap faham bahawa Islam hanyalah 5 perkara yang disebutkan itu.
  2. Kenapa Islam dibina di atas 5 perkara tersebut? Kerana 5 perkara tersebut mewakili 5 asas penting dalam kehidupan manusia. Aqidah pegangan, hubungan dengan Allah, penjagaan diri dari kurungan nafsu, pencarian kehidupan dan kepeduliaan/ bantuan terhadap orang lain dan terakhirnya hubungan antarabangsa dan pengambiltahuan sesama muslimin sejagat.
  3. Ruh bagi setiap satu dari rukun islam ini perlu di fahami kerana darinya lahir kefahaman terhadap kesemua sistem islam yang lain yang terangkai darinya.
  4. Melaksanakan setiap dari amalan dan suruhan tanpa memahami maksud (maqasid) dari setiap satunya akan menjadikan amalan dan ibadah ibarat kerangka atau robot tanpa roh.
  5. Perlunya asas dalam tarbiah. Tarbiah perlu dimulakan dengan asas, kefahaman dan keyakinan dan bukannya perbuatan dan amalan yang kering dan tidak dimengerti. Muntalaq dalam tarbiah hendaklah dibina dengan betul dan mantap sebelum seseorang mutarabbi mula bergerak dan beramal untuk Islam.

 

Fikrah al-Quran – al-kafiruun (109)

15 Jun

Fikrah al-Quran – al-kafiruun (109)

بسم الله الرحمن الرحيم
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (2) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (3) وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ (4) وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ (5) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (6)

Image

Membaca surah ini akan membina kejelasan dan ‘distinguish’ terhadap pegangan yang sepatutnya di miliki dan di fahami oleh seorang muslim. Inilah hasil dan tema khusus yang sepatutnya terhasil bila seseorang telah membaca al-kafirrun ini.

Hanya Allah yang menentukan apakah tema sebenar di sebalik setiap surah yang diturunkan. Kita sebagai manusia hanya mampu untuk mencuba sebaik dan semampu mungkin untuk memahami dan mengambil iktibar dari setiap surah dan ayat yang ada di dalam Quran. Ini berdasarkan setiap peristiwa yang melingkari penurunan setiap surah yang ada di dalam Al-Quran.

Surah ini sebagaimana yang diriwayatkan adalah turun bila berlaku pergolakan dalam hati Nabi saw antara penerima pelawaan kafir yang inginkan Muhammad saw melakukan itu dan ini. Orang-orang kafir yang menjadi objek dakwah Nabi saw pada masa tersebut telah jemu, penat dan hampir kecewa kerana setiap usaha yang mereka lakukan untuk menghalang si-Muhammad ini dari berhenti, langsung tidak di pedulikan. Muhammad adalah manusia degil yang tetap ingin ingin menyampaikan dan mengumpulkan manusia yang telah memahami.

Setelah bertahun-tahun keadaan berlalu, Muhammad dengan kedegilannya, si kafir terus mencari jalan. Akhirnya mereka mula cuba untuk menggunakan cara lembut, tawaran, diplomasi dan seolah-olahnya mengalah.

Tawaran mereka bermula dengan tawaran kebendaan samada harta, jawatan dan juga wanita. Kesemuanya mentah-mentah di tolak oleh Nabi saw walaupun kemungkinan ia boleh di gunakan untuk Islam. Tetapi kejelasan tidak boleh di kotori oleh cara yang mungkin akan mengelirukan. Jika Muhammad saw menerima tawaran ini dan kemudian menggunakannya untuk dakwah secara senyap-senyap, ia mungkin ada tahap berjayanya, tetapi tahap kerosakan kefahaman pada pengikut Muhammad saw akan menjadi lebih teruk dan tidak jelas. Oleh itu ia perlu di tolak !

Musuh-musuh Islam dari kafir Mekah mula mencari tawaran lain untuk di berikan kepada Muhammad. Tawaran pergiliran penyembahan dan pengakuan. Mereka menawarkan giliran setahun untuk menyembah tuhan mereka dan kemudiannya mereka akan menyembah tuhan Muhammad selama setahun. Mereka mengakui tuhan Muhammad dengan syarat Muhammad juga mengakui tuhan mereka juga adalah betul !

 

Betapa bersungguhnya mereka si kafir untuk berfikir mencari jalan menyelamatkan keadaan harmoni di Mekah. Dengan idea baru ini, di harapkan Mekah akan kembali normal dan tenang. Tetapi…. Apa jawabannya?

Jawaban sekarang bukan datang dari Muhammad saw, tetapi ia datang terus dari 7 petala langit !

Ketika Muhammad saw termenung mendengar tawaran dari mereka itu, maka datanglah wahyu pemutus. Wahyu yang bukan sahaja untuk Muhammad saw tetapi untuk mereka yang berpegang kepada Islam sepanjang zaman dan pengikut Muhammad saw. Wahyu itu ialah surah ini.

Boleh lah kita katakan bahawa surah ini adalah surah pemutus, penjelas, clear-cut, hitam putih apa sikap dan pegangan kita terhadap apa yang kita pegangi. Tidak ada lagi main-main, tarik tali, cuba-cuba dan undur. BAGI KAMU PEGANGAN DAN CARA HIDUP KAMU, BAGIKU SEBAGAI MUSLIM ADA PEGANGAN DAN CARA HIDUP KU !

Dimulakan dengan pengisyiharaan supaya si kafir mendengar dan faham. Ia bukan sekadar pegangan dalam hati yang tidak didengari dan di fahami. Ia mesti di iklankan. Kalimah ‘QUL’ yang tidak banyak menjadi awalan ayat menunjukkan ini semua. Kadangkala ia hanyalah pegangan dalam hati. Tetapi sesetengah perkara ia mesti di laungkan supaya si kafir memahami dan jangan berfikir lagi yang bukan-bukan untuk memujuk !

Panggilan al-kafiruun juga jelas. Mereka layak dipanggil dengan panggilan itu kerana itulah hakikat mereka. Kafir dengan Allah yang menciptakan mereka. Alangkah tidak patutnya mereka kerana sanggup kufur dengan suatu yang terang dan jelas. Apakah kita akan memanggil mereka dengan panggilan yang mungkin akan mengelirukan si muslim selepas dan pengikut kita? Tidak. Panggilan hendaklah jelas. Nama hendaklah jelas dengan apa yang mereka bawa dan di berikan oleh Allah. Bermain dengan nama mungkin akan mengelirukan pengikut Islam sendiri.  Kecualilah dalam setengah-setengah keadaan yang di kecualikan apabila memerlukan mengambil hati dan objek dakwah yang telah hampir.

Apa yang berbeza antara kita dan kafiruun?

Al-Ibadah ! memperhambakan diri. kita tidak akan memperhambakan diri kepada apa yang dilakukan oleh si kafir. Si kafir menghambakan diri kepada nafsu, wanita, hartabenda, dunia, kerja, jawatan, masadepan, akademik, nama dan lain-lain yang semuanya tidak memberi manfaat kepada mereka selepas mati. Di kala Nabi saw, mereka menjadi pengikut berhala, wanita, kerja, kabilah dan harta. Adakah si muslim juga akan menjadi seperti mereka? Tidak sekali-kali. Kita adalah manusia berbeza. Apabila kita telah Islam dan menerima Islam, kita adalah hamba kepada Allah. Bukan lagi sama seperti si kafir.

Di zaman moden ini, bila faham ‘ibadah’ telah di salaherti, maka berlaku lah persamaan antara si Muslim dan si Kafir. Si Muslim sudah merasai mereka adalah berbeza dengan si kafir hanya kerana mereka mempunyai tempat ibadah yang berbeza iaitu di masjid dan si kafir beribadah di gereja atau kuil. Sedangkan mereka berdua mengongsi tempat hiburan yang sama, mengejar dan mempertuhankan hawa nafsu dan matlamat yang sama dalam hidup. Ibadah hanya telah terhad kepada tempat ibadah dan cara ia dilakukan, dan bukan lagi matlamat hidup dan apa yang di kejar. Hasilnya betapa tidak ada bezanya antara muslim dan kafir di dunia hari ini kecuali dalam ‘ibadah yang sempit’.

Setuju atau tidak, muslim perlu berbeza. Beza dari dalam hatinya kepada seluruh cara hidupnya. Muslim adalah muslim dan kafir adalah kafir. Muslim berbeza kerana ia mempunyai matlamat yang berbeza dari matlamat yang tidak muslim. Hati dan perasaan muslim adalah berbeza dari perasaan si kafir. Cinta dan kasih si muslim adalah tidak sama dengan cinta si kafir. ‘Why dan kenapa si muslim bekerja, belajar, bergerak, berpindah adalah berbeza dari seorang yang tidak beriman dan ‘kafir’.

Akhirnya….

Surah ini sekali lagi membuat penegasan konkrit ! Agama dan cara hidup kamu wahai si kafir adalah berbeza dari kami. Kami adalah lain dari kamu. Walaupun bentuk tubuh dan bernafas dengan oksigen  yang sama, namum kami adalah lain. Kami ada pegangan, perasaan, emosi, tindakan, matlamat hidup dan tingkahlaku sendiri yang berbeza dengan kami wahai si-kafir !

Lakum deenukum, wa-liya-deen……

Fikrah Quran – Surah an-Nasr (110)

11 Jun

Image

Antara surah yang mempunyai kepelikkannya di dalam juz 30. kerana penurunannya yang akhir tetapi kedudukannya bersama-sama surah yang turun pada awal-awal Islam.

Setiap surah yang terkandung di dalam juz 30 kebanyakkannya adalah makkiyyah yang memang ditujukan kepada pembinaan muslim yang awal atau kepada pertentangan yang berlaku di peringkat awal Islam. Tetapi surah ini agak berlainan kerana ia turun di akhir sebelum kewafatan Nabi saw tetapi terletak di sini, sebaris dengan surah-surah yang ditujukan dalam pembinaan muslim.

Semasa awal Islam, pembinaan besar adalah pada membina peribadi Islam yang kuat. Tiada gunanya pertentangan dan perlawanan jika pemain dan pelawannya lemah, lesu dan tidak memahami kenapa dan bagaimana. Allah Maha Tahu bahawa selepas 3 tahun pertama Islam, mereka akan memasuki era baru iaitu era terbuka dan menerjahkan dakwah kepada masyarakat yang memang amat berbeza aqidah, pegangan, pemikiran, cara hidup dan tumpuan aktiviti mereka. Memang tempoh masa bukan suatu yang perlu diikuti. Bukan tempoh masa 3 tahun yang penting, tetapi kekuatan yang mereka bina itu yang perlu diteladani dan diambil kira.

Oleh itu, persiapan awal muslim pada peringkat awal adalah persiapan diri, jiwa, dalaman, keyakinan dan pemahaman yang benar. Ini semua dibina oleh Nabi saw melalui wahyu-wahyu yang sama-sama di hayati benar-benar.

Setelah mereka telah mempunyai kekuatan ini, barulah mereka di benarkan oleh ALlah untuk menerjahkan mesej kepada manusia awal dan masyarakat. Ketika mereka telah mampu dengan jiwa yang berani, kental, pemahaman mantap dan tidak boleh di ganggu gugat lagi dan bilangan yang munasabah dengan keadaan populasi semasa Mekah pada waktu itu.

Apakah yang perlu di bina oleh muslim sehingga kita katakan mereka mampu dan layak untuk memasuki medan yang ganas, dahsyat dan boleh menghanyutkan itu? Ya.. itu persoalannya sebelum kita memasuki surah annasr ini. Kerana kedudukan surah annasr di celah-celah surah-surah pembinaan…..

Keperluan pada masa pembinaan ialah melahirkan kader yang kuat. Kuat keyakinan dan kefahaman. Keyakinan dan kefahaman apa? antaranya:

1. Kafahaman dan keyakinan bahawa hanya Allah tempat berlindung dari serangan pelbagai dari manusia, jin dan kejahatan-kejahatan biasa mereka. Allah jadikan seluruh alam ini penuh dengan ujian untuk manusia mukmin. Was-was, kegelapan, pendengki, si tukang sihir, desakan dan pujukan si-kafir, penuduh, pengutuk dan pengadu domba, keluarga terdekat dan lain-lain. Mukmin yakin perkara dan gangguan ini akan berlaku bila dia cuba kembali kepada ALlah dan beramal dengan Islam. Oleh itu keyakinan hanya Allah tempat berlindung dan bergantung adalah pemelihara utama baginya.

2. Kefahaman dan kayakinan bahawa apa yang kita ikuti ini adalah benar, akan diganggui dan tidak mudah. Ini akan membina satu set pemikiran agak tidak terkejut dengan dentuman tembakan dan kata nista setelah apa yang diikuti ini terbuka dan di maklumi. Penanaman ini perlu sangat kuat di hati mukmin agar tidak akan berganjak dengan apa sahaja tekanan, nistaan, kejian, penindasan dan bahkan pujukan.

3. Apa yang benar itu? keyakinan iman terhadap Allah dan Islam yang diterima. Ia perlukan pengulangan dan kepelbagaian gambaran dan cara. Surah Mekah terutama awal Islam sarat dengan penekanan ini. Gambaran Allah yang patut di fahami sehingga semua mukmin mengenali betul-betul siapa sebenarnya Allah yang mereka ibadati dan tunduki itu. Kemudian gambaran jelas apa nasib mereka selepas mati nanti juga syurga dan neraka bagaimana yang semua akan hadapi selepas kematian nanti….

Lahir dari tarbiah surah Mekah ini satu gerombolan manusia yang amat berbeza. Kafahaman dan keyakinan mereka amat berbeza dari manusia lain. Dekat mereka kepada ALlah amat erat sehingga merasai Allah bersama mereka di mana-mana, melihat dan memerhati, mendidik dan mengajar dengan wahyuNya.

Ketika ini, surah annasr ini amat sesuai. Walaupun ia datang dalam keadaan yang berbeza iaitu akhir sebelum kewafatan Nabi saw dan ketika mukmin seluruhnya telah menguasai seluruh manusia, namun tema dan bawaannya adalah tetap sama dengan surah-surah yang berada di sampingnya. Keperluan kita sentiasa ingat kepada Allah, tiada limpahan kecuali dari Allah, tidak ego dan gembira yang melupakan sang pemberi asasi dan semuanya tidak mungkin kecuali datang dariNya.

Memang manusia cepat lupa. Lumrah lupa juga terkena pada mukmin. Mereka akan terlalu gembira bila manusia akan memasuki dan bersama-sama dengan Islam berduyun-duyun. Mereka akan gembira bila Islam telah memenangi bumi dan hati manusia. Tapi mereka mungkin akan mula lupa bahawa semua itu bukan kerana usaha dan hasil tangan dan penat mereka. Semua itu adalah limpahan nikmat Allah.

Mereka tidak mungkin menang dan berjaya tanpa pemberian Allah, walau bagaimanapun usaha dan penat jerih mereka.  Ia datang dari Allah apabila telah tiba masa yang Allah Tahu kita memang berhak menerima kemenangan. Bila dan bagaimana? Itu adalah ketetapan dari Allah. Kita hanya perlu berusaha sebagaimana yang Dia pinta.

Surah ini juga mengajar mukmin bahawa kemenangan mereka bukan hanya pembukaan dan penaklukan negeri. Kemenangan sebenar ialah dengan penaklukan hati manusia dan mereka menerima Islam dengan penuh terbuka.

Oleh kerana kemenangan selalunya melupakan pencapainya kepada sang Pemberi, maka Allah mengajar betapa pentingnya kemenangan diiringi dengan tasbih, tahmid dan istighfar yang berpanjangan sepertimana dilakukan oleh Baginda saw semasa pembukaan Kota Mekah pada tahun ke 8 Hijrah. 

Fikrah dari Hadis 40 (hadis kedua)

5 Jun

Image

1)            Kefahaman terhadap deen perlu difahami dengan betul. Di dalam hadis ini,  Jibril datang untuk menerangkan kandungan deen yang merangkumi Iman, Islam dan ihsan. Kadangkala Islam difahami secara terpisah antara iman, islam dan ihsan. (penjelasan terhadap hal ini diterangkan lebih lagi oleh Nabi saw di dalam hadis no. 3 di dalam kitab an-nawawi arbain).

2)             Hadis ini dengan jelas menerangkan kedatangan jibril untuk merumuskan erti deen berlaku pada akhir zaman Madinah, kerana kesyumulan kandungan Islam menunjukkannya dengan jelas ia berlaku di Madinah. Jika sekiranya hadis ini berlaku pada awal madinah, nescaya haji dan lain-lain rukun islam belum termasuk di dalam hadis kerana ia belum di wajibkan.

3)             Betapa taarufnya (terlampau kenal) sahabat sesama mereka dan mereka mengenali setiap dari sahabat yang wujud di Madinah dan di luar Madinah. Mereka mengetahui samada seseorang itu dari mana dan apa keturunannya. Ketika Jibril datang, mereka semua mengenali bahawa lelaki ini bukan dari madinah. “Tidak ada di kalangan kami yang mengenalinya!”.

4)             Hadis ini sangat mengajar kita tentang sifat tawadhu’nya para sahabat apabila berada di hadapan Nabi saw. Mereka enggan untuk menjawab suatu yang mereka rasai tentunya Nabi saw lebih mengetahui dari mereka. Oleh itu mereka menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui.

5)             Keeratan antara murabbi dan mutarabbi diajar oleh jibril di dalam cara duduk dan mengadap ketika berada di hadapan murabbi. Cara berpakaian ketika menghadapi murabbi juga patut di ambil kira.

6)             Dari hadis ini, kita dapat mempelajari bezanya antara mengajarkan ilmu secara berskema dan mengajar ilmu secara ke hati (menanamkan fikrah). Islam telah datang kepada Nabi saw dan para sahabat dalam bentuknya yang menusuk ke hati sanubari, menggerakkan manusia dan menanam ruh perjuangan sejak hari pertama di gua hira dan Mekah. Tetapi jibril juga datang dalam bentuk skema dan ilmu yang dibilang-bilang, ber’bullet’ poin  sebagaimana dalam hadis ini setelah akhir hidup Baginda saw. Ini menggambarkan perbezaan antara dua cara yang berbeza antara penanaman fikrah dan penyampaian ilmu.

Fikrah dari surah al-ikhlas – 112

3 Jun

Image

Dari al-mu’awwizatain yang menyatakan kelemahan kita semua di hadapan Allah, memerlukan perlindungan Allah dari pelbagai kejahatan di keliling dan di dalam diri kita, surah ini membawa kita kepada satu dimensi lain dalam hubungan pengenalan kita terhadap Allah yang Maha Agung.

Sudah tentu banyak yang kita tidak mengenalNya dengan sesungguh-sungguhnya. Oleh kerana kita tidak berjumpa dengan Allah, tidak dapat melihatnya di atas dunia ini sebelum tiba ke syurga, maka kita perlu mengenalnya dengan sifat dan gambaran persepsi. Namun persepsi dan sifat ini haruslah betul dan tepat sebagaimana Dianya. Gambaran yang salah lah yang telah melahirkan masyarakat songsang dan akhirnya melahirkan tindakan menyeleweng dan lari dari kebenaran sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat mekah semasa kedatangan Baginda saw. Dan ia berlaku sekali lagi dalam masyarakat moden ini. Semuanya bertitik dari kesilapfahaman gambaran tasawwur terhadap Allah.

Surah ini adalah antara banyak-banyak ayat yang akan mendekatkan kita kepada Allah, mengenalinya, memahami, merasai dan membina persepsi baru terhadap Allah. Persepsi dan perasaan sebenar. Ia sepatutnya akan menolak segala perasaan yang tidak betul yang ada di dalam sanubari dan benak kita. Jika ia telah betul, alhamdulillah. Ia akan menjadi penguat dan pengukuh. Jika ia selama ini silap, maka alhamdulillah kerana surah ini dan yang sama dengannya akan memberikan gambaran yang betul dan benar.

Tindakan luaran, perilaku, perbuatan fizikal menggunakan anggota badan semuanya adalah terhasil dari sikap dan pengenalan ini. Jika pengenalan dan perasaan terhadap Allah tidak betul, maka tindakan dan segala perlakuan juga akan jadi tidak betul. Oleh itu Quran sarat dengan pembetulan dan pengetukan ini demi untuk melahirkan perasaan dan pemahaman yang betul terhadap Allah. Dan surah al-ikhlas ini adalah satu contoh paling padat terhadap isu ini. Hinggakan ia di anggap sebagai 1/3 quran oleh Baginda saw.

Al-Ikhlas sebagaimana namanya adalah pembersihan dan pemutihan agar tidak ada lagi kekotoran saki baki yang tidak betul tertinggal selepas surah ini. Ia menggambarkan kebersihan perasaan dan hati seorang muslim dari karat-karat yang tidak betul terhadap Allah yang mungkin tertinggal hasil dari keberadaannya di dalam suasana jahat dan jahiliyyah. Ikhlas yang ertinya suci, bersih, tidak bercampur adalah nama yang inginkan dari pembaca dan pengamatinya perolehi selepas dari tamat mentadabburnya.

Apakah sifat biasa yang dikaitkan atau disandarkan kepada Allah secara tidak benar?

Majoritinya akan bergantung kepada apa yang mereka nampak. Bergantung kepada sesama manusia dan makhluk. Anak-anak kepada ayah dah ibu mereka. Bila telah besar, bergantung kepada kawan dan sahabat atau pasangan. Ilmu bergantung kepada guru, pensyarah dan profesor. Kemudian setelah manusia tahu dan memahami sains dan teknologi, mereka mula bergantung kepada undang-undang sebab dan musabbab. Kepada alat-alat yang dicipta dan mesin-mesin yang wujud. Pergantungan ini semakin lama semakin kuat dan erat. Keyakinan terhadap tempat pergantungan ini mula tidak dapat di pisahkan. Cuma sekali sekala manusia tidak dapat merungkaikan undang-undang sebab musabab ini lalu mereka mula membina gambaran tidak betul terhadap alam metafizik. Inilah yang perlu dibetulkan pada manusia.

Sebenarnya makhluk dan sains ini hanyalah cubaan Allah terhadap manusia. Adakah mereka akan berterusan mencari jalan untuk melepaskan pergantungan mereka dari Allah? Manusia yang tidak yakin dan tidak mahu bergantung kepada Allah akan sentiasa merasa menang dan berjaya setiap kali menjumpai satu undang-undang sains yang baru. Semakin lama manusia semakin sesat dan sesat. Bagi muslim, semuanya adalah anugerah Allah. Sains tidak lain hanyalah sunnatullah, ketetapan Allah untuk menguji manusia samada mereka akan bergantung kepada sains kah atau akan bergantung kepada Sang Pencipta yang menentukan undang-undang sains itu. Kita tidak mungkin lari dari Allah. Kita tetap perlu bergantung kepadaNya.

Manusia lemah. Memerlukan tempat pergantungan. Di mana manusia akan bergantung?

Allah perlukan asal dan turutan keturunan/sambungan? Inilah antara cara fikir manusia. Tak mungkin sesuatu itu datang begitu sahaja tanpa asal dan tempat lahir. Tempat keluar dan tempat timbul. Darwin dengan teori evolusinya tidak dapat menerima Adam sebagai ciptaan pertama dan asal tanpa ayah dan ibu. Cara fikir ini adalah cara fikir logik dan pendek akal manusia. Ia tidak dapat menggambarkan sesuatu yang diluar kotak fikirnya yang sempit. Akhirnya tuhan juga difikirkan dengan cara yang sama !

Tuhan amat-amat berbeza dari cara manusia berfikir. Jauh dari segala yang mampu difikirkan oleh manusia. Ia tidak diperanakkan dan tidak melahirkan anak dan keturunan. Kenapa? Kerana memang ia bukan makhluk. Yang memerlukan itu semua adalah makhluk. Kerana makhluk tidak dapat lahir kecuali mesti ada yang melahirkannya. Dan makhluk pula akan mati dan berakhir. Kerana itu ia memerlukan kepada anak dan keturunan. Makhluk juga memerlukan kepada anak-anak untuk dikekalkan sebutannya agar tidak hilang dan akan ada yang akan mengingatinya. Apakah tuhan perlukan ini semua? Yang memerlukan ini semua bukanlah tuhan. Tuhan bersih dan bukan bersifat seperti ini.

Alangkah jauhnya cara fikir manusia dan sukar untuk berfikir. Kerana itu untuk mengenali Allah, kita perlukan kepada petunjuk Allah supaya ianya betul dan tidak menyeleweng. Allah tidak begitu. Ia bersih dari beranak dan diperanakkan.

Akhirnya Allah menetapkan ketetapannya..

Tidak ada sesuatu apapun yang menyamaiNya. Ya… tidak ada. Semua yang terlintas dalam fikiran terhadap Allah yang bukan dari Quran dan Sunnah yang sahih, maka itu adalah gambaran yang tidak benar. Sebarang rasa Allah menyamai sama dengan mana-mana makhluk, maka ia adalah rasa yang tidak benar. Tidak kira samada ianya dalam bentuk beranak pinak atau tempat bergantung. Kedua atau ketiga sifat ini hanyalah contoh-contoh besar dalam hidup manusia. Tetapi sebenarnya Allah bersih dari sebarang rasa ‘sama’ atau ‘seumpama’ dengan makhlukNya.

Laisa kamithlihi syay’ !

Fikrah dari al-falaq (surah ke 113)

30 May

Image

Fikrah dari al-falaq (surah ke 113)

Saudara kepada surah al-naas. Turunnya hampir sama masa. Walaupun ada pertikaian ulama tentang masa turunnya samada makki atau madani, tetapi bukan penting untuk kita membincangkan soal ini di sini. Soal apa yang kita patut fahami, hayati, terapi dan ubahi itu lebih penting dan kritikal.

 

Sama seperti yang kita cuba hayati sebelum surah ini. Qul sekali lagi memulai surah. Panggilan dan seruan agar kita ingat ia adalah untuk kita iklankan, bukan hanya terperosok di simpan di benak dan hati kita semata.

Annaas lebih kepada gangguan dari luar kepada ke dalam kita. Perubahan yang dapat di buat adalah di dalam dada kita. Tapi apakah tidak ada kejahatan lain yang diciptakan Allah untuk menggoda manusia? Banyak. Terlalu banyak. Dan dalam pelbagai bentuknya. Ia mencari tempat sesuai untuk menyerang manusia. Kegelapan, sihir, hasad dan pelbagai lagi bentuk yang boleh mengganggu manusia. Ini adalah di luar kemampuan pengentahuan manusia. Kita tidak mengetahuinya. Tidak menjangkakannya. Tapi bagaimana kita akan mampu menolaknya sedangkan kita tidak tahu dan tidak mampu menjangkakannya? Mudah ! di sana ada Allah. Dia Maha Kuasa kerana semuanya adalah milik dan kejadianNya !

  1. Manusia tidak dapat lari dari kejahatan. Memang menjadi sunnatullah. Allah menciptakan segala sesuatu untuk manusia. Samada memberi faedah langsung atau faedah tidak langsung. Faedah tidak langsung adalah cubaan dan gangguan. Siapa dapat lari dari kejahatan dan gangguan ini??? Tidak mungkin. Samada mereka akan berharap kepada Allah untuk melindungi mereka, atau mereka akan tunduk kepada makhluk ini, menyerah dan menjadi pak turut atau hamba kepada si makhluk ciptaan Allah ini.
  2. Ini semua adalah ujian. Bagi seorang muslim, kenapa mereka perlu tunduk dan menyerah diri bersekongkol kepada makhluk lemah ini? bukankah mereka ada Allah yang Maha Kuat dan Pencipta semua makhluk ini. Kalaulah Allah yang mencipta, maka semua makhluk ini sebenarnya adalah lemah dan melutut patuh kepada kehendakNya. Bagi muslim yang yakin kepada Allah, mereka tidak takut kepada semua makhluk ini. tetapi dia akan menuju kepada Allah untuk meminta perlindungan dan berada di bawah naungan Allah. Ketika ini siapa lagi berani mengganggunya?
  3. Manusia tanpa tuhan akan mencari jalan untuk melawan gangguan-gangguan ini. Mereka enggan untuk tunduk kepada Allah. Mereka mencari jalan yang kononnya saintifik, moden dan terkini untuk menghadapinya. Tetapi mampukah mereka? Tidak ! kerana kejahatan ini sendiri adalah suatu yang tidak kelihatan, ghaib, bersimpang siur, datang dan pergi, sentiasa berubah-rubah, khalayak dan terlalu banyak. Bagaimana mereka akan hadapi sesuatu yang ghaib dan tidak kelihatan dengan alat yang hanya mampu mengesan suatu yang nampak dan boleh di kesan? Kenapa mereka tidak mahu kembali berlindung kepada Allah? Memang mereka kufur kepada Allah. Itulah hakikat sains yang mereka ciptakan kononnya !
  4. Dalam alam ini terdapat pelbagai kejahatan dan gangguan. Ada dari luar dan ada dari dalam diri manusia sendiri. Dari luar dalam bentuk yang kita ketahui dan ada yang kita tidak ketahui. Kita tahu ada tukang-tukang sihir dan penghasad. Tetapi kita tidak tahu adakah mereka akan melakukan pada kita atau pada siapa. Kita tidak tahu adakah mereka berhasad pada kita atau pada siapa. Pengetahuan kita cetek dan lemah. Kita tidak mengetahui apa yang berlaku di belakang kita dan di luar jangkauan kita. Nabi saw sendiri cuba di sihir oleh si Yahudi. Sedangkan baginda saw adalah Nabi dan Rasul. Kerana nabi sendiri tidak mengetahui yang ghaib. Oleh itu meminta perlindungan kepada Allah adalah jalan paling selamat dan paling kuat untuk mengatasi semua ini. Jika Allah tidak izinkan, tiada siapa yang mempu untuk mengganggu kita.

Kedua surah ini bersama al-ikhlas di baca ketika akan tidur dan ketika kita di pagi dan petang hari. Ia termasuk di dalam al-ma’thurat (suatu yang diwarisi dari Nabi saw). Bukan sekadar pelindung dan jampi, tetapi ia adalah perasaan pergantungan dan lemahnya hamba kepada tuhannya. Itulah sikap sentiasa seorang hamba kepada tuhannya. Tidak ada erti tuhan jika kehilangan sikap dan rasa ini dari seorang hamba !

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 134 other followers